1,500 Anak Pokok Ditanam Sempena Hari Hutan Antarabangsa 2025

Disiarkan pada 14 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


BINTULU: Sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2025, sebanyak 1,500 anak pokok pelbagai spesies asli berjaya ditanam dalam Program Penanaman Pokok yang berlangsung di Stesen Penimbang, Daiken Sarawak Sdn Bhd pada Sabtu.

Program yang merupakan sebahagian daripada inisiatif 'Greening Sarawak Campaign' itu telah dianjurkan oleh Pejabat Hutan Wilayah Bintulu dengan kerjasama Daiken Sarawak Sdn. Bhd., dan disertai seramai 165 peserta dari pelbagai latar belakang.
Majlis disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, bersama Pengarah Pengurusan Daiken Sarawak Sdn Bhd Yasushi Sugio.

Dalam ucapan, Datu Hamden berkata, inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan litupan hijau dan kualiti alam sekitar, malah turut memperkukuh kerjasama strategik antara sektor kerajaan, swasta dan komuniti tempatan dalam usaha pemuliharaan landskap hutan di Sarawak.

"Program seumpama ini dijangka akan diteruskan secara berperingkat sebagai langkah jangka panjang dalam menangani isu perubahan iklim dan memastikan warisan hutan negeri ini terus terpelihara untuk generasi akan datang," katanya.

Antara yang terlibat dalam program ini termasuk 117 kakitangan Jabatan Hutan Sarawak, 18 wakil komuniti dari kawasan sekitar Lesen LPF0003 dan 30 kakitangan Daiken Sarawak Sdn Bhd.

Sebanyak 1,500 anak pokok pelbagai spesies asli telah berjaya ditanam sepanjang program ini, merangkumi 500 anak pokok Bintangor Batang Putih, 400 anak pokok Luis Kerengas, 300 anak pokok Nyatoh Babi Daun Kecil dan 300 anak pokok Meranti Sarang Punai. -EDISI UKAS