Program MyLesen Buka Peluang Cerah Buat Belia B40

Disiarkan pada 14 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


BINTULU: Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) bukan sahaja membuka ruang kepada kemahiran pemanduan sah, tetapi turut membuka jalan ke arah masa depan yang lebih cerah bagi golongan berpendapatan rendah (B40), khususnya belia dan pencari kerja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, seramai 671 peserta dari kawasan DUN Jepak berjaya memperoleh lesen motosikal kelas B2 sejak program ini mula dilaksanakan awal tahun 2024.

“Saya amat yakin, jika program sebegini diteruskan dan diperluas, lebih ramai anak muda berpendapatan rendah akan dapat memulakan langkah kehidupan yang lebih selamat, sah dan berdisiplin di atas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Program MyLesen di Dewan Suarah Bintulu pada Jumaat.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Sarawak, JPJ Bintulu, Akademi Memandu Bintulu Sdn. Bhd., dan Pusat Khidmat DUN Jepak atas pelaksanaan program yang tersusun dan menyeluruh.

Beliau turut menekankan aspek keselamatan jalan raya, merujuk kepada nasihat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang menasihatkan agar rakyat tidak menggunakan jalan raya sebagai litar perlumbaan.

Beliau menyeru semua peserta untuk mengamalkan pemanduan berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas, dan menjadikan keselamatan sebagai keutamaan.

“Kecederaan, kecacatan kekal, kehilangan nyawa, semua ini menimpa mereka yang kita kenal dan sayang,” tegas beliau.
Sementara itu, Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jeli turut menyuarakan kebimbangan terhadap statistik kemalangan maut yang mencatatkan purata 6,000 kematian setahun di Malaysia, khususnya melibatkan motosikal.

Malah, kadar kemalangan maut meningkat 1.5 peratus tahun ini meskipun jumlah kemalangan keseluruhan menunjukkan penurunan.

"Sebagai langkah tegas, JPJ akan terus memperketatkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mempergiat kempen kesedaran melalui pendekatan komuniti dan pendidikan awam," ujarnya. -EDISI UKAS