Pembuangan Sampah Tidak Bertanggungjawab Masih Berleluasa Di Bintulu

Disiarkan pada 14 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


BINTULU: Isu pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab terus menjadi kebimbangan apabila sisa buangan masih ditemui di kawasan Pantai Ria meskipun program pembersihan telah dijalankan.

Perkara itu disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming ketika dalam sidang media selepas Program Gotong Royong Perdana di Pantai Ria di sini pada Sabtu

Jelasnya, Pantai Ria bukan sekadar lokasi rekreasi, tetapi lambang milik bersama yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab

“Saya tidak puas hati dengan pembuangan sampah yang berlaku ini. Sampah ini dibuang oleh manusia. Maka manusia juga perlu bertanggungjawab membersihkannya,” tegas beliau.

Johnny menyeru masyarakat agar tidak hanya bergantung kepada pihak berkuasa tempatan untuk menjaga kebersihan, sebaliknya membudayakan sikap prihatin dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Program gotong-royong ini turut merangkumi sesi latihan asas pengurusan sisa serta pendedahan tentang penjagaan kawasan pantai yang dikenalpasti sebagai kawasan sensitif.

Beliau juga menyentuh pentingnya sinergi antara agensi kerajaan dan masyarakat dalam menjayakan sebarang inisiatif kebersihan.

Kata Johnny Pang, selepas kepimpinan baharu di bawah Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA), kerjasama pelbagai pihak dapat dipertingkat dan perlu terus diperkuatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan bersama.

Lebih 300 peserta dari pelbagai agensi, institusi dan komuniti tempatan menyertai Program Gotong-Royong Perdana di Pantai Ria, Tanjung Batu hari ini, dalam usaha bersama membersihkan kawasan pantai serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar dengan makanan ditaja oleh GoldenBay Hotel dan Samsung E&A. -EDISI UKAS