BINTULU: Pemimpin akar umbi seperti Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diingatkan agar menguruskan peruntukan kerajaan dengan penuh integriti dan ketelusan supaya manfaat pembangunan dapat dirasai sepenuhnya oleh rakyat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing menegaskan perkara itu semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pengerami Ngiling Bidai Gawai Dayak 2025 anjuran Parti Demokratik Progresif (PDP) yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Beliau menegur sikap segelintir Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta biro wanita yang masih gagal mengemukakan laporan projek, meskipun peruntukan telah disalurkan lebih dari setahun yang lalu.
“Saya berharap agar pihak JKKK mahupun biro wanita menggunakan peruntukan dengan telus terutamanya bagi projek naik taraf rumah panjang.
"Jangan salah guna jawatan KMKK ketika anda mempunyai kuasa kini,” tegas beliau.
Menurutnya, penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pemegang jawatan bukan sahaja mencemarkan integriti kepimpinan, malah turut menjejaskan matlamat pembangunan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
Dalam majlis sama, Ahli Parlimen Bintulu itu turut menzahirkan kegembiraannya dapat bersama-sama meraikan sambutan Gawai Dayak bersama komuniti tempatan.
Baginya, Gawai bukan sekadar pesta perayaan, tetapi lambang jati diri, warisan serta kekayaan budaya masyarakat Dayak yang mencerminkan keharmonian dalam kepelbagaian.
“Inilah negara kita yang merayakan pelbagai perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Gawai Dayak dan Krismas. Sama-samalah kita menghargai perayaan yang diraikan oleh pelbagai suku bangsa,” tambah beliau.
Beliau turut menyeru agar semangat perpaduan dan saling menghormati terus diperkukuh, sejajar dengan usaha memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negara ini. -EDISI UKAS