MIRI: Keanggunan dan pesona budaya Dayak terserlah apabila seramai 13 gadis jelita tampil beradu keayuan serta kebijaksanaan dalam Pertandingan Miss Gawai Sarawak 2025 bersempena Karnival Gawai Tradisi Peringkat Negeri Sarawak 2025 yang berlangsung meriah di Bangunan FORUM, Jalan Pujut Padang Kerbau pada Jumaat.
Daphne Baun David, berusia 23 tahun dan mewakili Keligit Orang Ulu Miri Division, dinobatkan sebagai Miss Gawai Sarawak 2025.
Daphne yang berasal daripada etnik Kenyah, memukau juri dan lebih 1,000 penonton yang hadir dengan penampilannya yang mempersonakan serta penghayatan mendalam terhadap warisan budaya.
Naib juara pertama disandang oleh Olvin Alexandra Moses, 20 tahun, berdarah campuran Iban dan Indonesia, mewakili Kumang Gawai Betong manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Mimi Wimplinger, 21 tahun, wakil Dayung Sangon Miri Division, yang berketurunan Bidayuh dan Austria
Anugerah Best Contemporary Ethnic Dress diberikan kepada Clara Amanda ak Buyong, 23 tahun, wakil Kumang Miri Division yang tampil memikat dalam busana etnik moden berinspirasikan elemen Iban.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan kenamaan termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Gawai Dayak Tahun 2025 Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh, Ahli Parlimen Baram merangkap Pengerusi Bersama Karnival Gawai Tradisi Sarawak 2025 Dato Anyi Ngau serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan merangkap Pengerusi Karnival Gawai Tradisi Sarawak 2025 Dato Dennis Ngau, Ahli-Ahli Dewan Negara Senator Susan Chemerai Anding dan Senator Michael Mujah Lihan, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS