KUCHING: Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Presiden Kuching City FC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman secara rasminya dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bagi penggal 2025-2027.
Beliau sah mengisi kerusi nombor satu persatuan itu selepas menang tanpa bertanding setelah pesaing terdekatnya, jururunding sukan, Dr. Mohd Syafiq Abdullah menarik diri daripada bertanding di saat akhir pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FAS, di sini pada Sabtu.
Turut menang tanpa bertanding ialah jawatan bagi Timbalan Presiden yang disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim.
Terdahulu, Kerusi Presiden FAS ini diduduki oleh Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman apabila beliau menang tanpa bertanding pada AGM FAS sesi 2023 / 2025 yang ketika itu diadakan di Sarikei dan jawatan Presiden FAS dipertandingkan semula apabila beliau mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu baru-baru ini.
Sementara itu, AGM FAS 2025 turut menyaksikan lapan calon bertanding untuk lima jawatan Naib Presiden yang mana dimenangi oleh Sophie Shariee dengan undi sebanyak 25 undi, Khairulddin Qalam Daud (24 undi), Khairul Anuar Adeni (23 undi), MD Hailcal Abdullah (17 undi) dan Nichol Agoi (16 undi). -EDISI UKAS