BAU: Majlis Rumah Terbuka Gawai Serembu 2025 membuka tirainya semalam dengan penuh warna-warni, dimulakan dengan upacara pemberkatan kawasan Pusat Kebudayaan dan Komuniti Serembu oleh Rektor St Stephen, Reverend Peter Liston.
Upacara itu turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh.
Menghangatkan suasana pembukaan ialah pertandingan ‘Battle of the Band’ yang menyaksikan penyertaan daripada enam kumpulan muzik tempatan.
Strategi Band muncul juara, sementara tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh D’Lovelites Band dan Moonshine Band.
Para pemenang membawa pulang wang tunai, sijil penyertaan serta trofi sebagai penghargaan atas bakat dan persembahan mereka.
Majlis dua hari ini akan diteruskan dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan artis tempatan dan jemputan khas dari luar.
Tumpuan utama adalah Pertandingan Dayung Sangon dan Dali Pogan Serembu 2025, yang bakal menampilkan enam finalis wanita dan empat finalis lelaki mewakili Zon Serembu.
Dalam pada itu, kaunter undian untuk kategori Mr dan Ms Favourite juga telah dibuka kepada orang ramai.
Miro mengalu-alukan kehadiran penduduk setempat dan pelawat untuk turut serta memeriahkan acara, menyokong para peserta dan merasai semangat perayaan Gawai dalam suasana penuh harmoni dan kebudayaan.
Majlis Rumah Terbuka Gawai Serembu 2025 terus menjadi platform menyatukan komuniti pelbagai kaum menerusi seni, warisan dan semangat perpaduan yang tinggi.
Hadir sama, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi dan Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching Atok Derop. -EDISI UKAS