Program Pengerami Ngiling Bidai DUN Kuala Rajang Disambut Meriah di Rumah Anis, Semalau

Disiarkan pada 14 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


SEMALAU: Tradisi Ngiling Bidai terus disemarakkan di peringkat akar umbi apabila Program Pengerami Ngiling Bidai Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang 2025 berlangsung dengan penuh meriah di Rumah Anis, Semalau, pada Jumaat.

Program tersebut merupakan penutup rasmi sambutan Gawai Dayak 2025 bagi kawasan DUN Kuala Rajang dan dijayakan menerusi jelajah ke beberapa lokasi terpilih bermula 13 hingga 22 Jun sebagai menghargai warisan budaya masyarakat Iban.

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, tradisi Ngiling Bidai, yang membawa maksud ‘menggulung tikar’, melambangkan penutupan musim menuai serta permulaan baharu yang penuh harapan bagi komuniti yang menyambutnya.

"Tradisi ini bukan sahaja mengangkat warisan budaya masyarakat Iban, tetapi juga memperkukuhkan hubungan kekeluargaan serta menyemai semangat harmoni dalam kalangan rakyat," katanya semasa berucap.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran program itu, dan menyeru agar rakyat terus meraikan kepelbagaian budaya dalam semangat muafakat serta perpaduan.

Program seperti itu juga, jelasnya, memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, di samping memperkukuh nilai murni dan identiti komuniti majmuk.

Datuk Len menegaskan bahawa semangat kebersamaan dalam meraikan kepelbagaian budaya merupakan tunjang kekuatan Sarawak yang harus terus dipelihara oleh semua lapisan masyarakat.-EDISI UKAS