Projek Parit Konkrit Kampung Teh Oya Fasa 4 Siap Awal, Atasi Isu Saliran dan Banjir

Disiarkan pada 13 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


DALAT: Projek pembinaan parit konkrit di Kampung Teh, Oya Fasa 4 yang dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat telah berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal, memberi kelegaan kepada penduduk setempat.

Dengan kos keseluruhan berjumlah RM200,000, projek ini kini siap sepenuhnya dan dijangka mampu menyelesaikan masalah saliran serta mengurangkan risiko banjir, sekali gus meningkatkan keselesaan dan keselamatan komuniti di kawasan tersebut.
Penyerahan Tapak Projek Siap telah disempurnakan dalam satu majlis ringkas yang turut dihadiri wakil Pejabat Daerah Dalat, jurutera daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah, kontraktor pelaksana serta Wakil Pusat Khidmat DUN Dalat, Sait Seman.

Menurut Sait, pihaknya menghargai komitmen dan kecekapan kontraktor yang berjaya menyiapkan projek ini lebih awal iaitu siap sepenuhnya pada 14 Mei 2025 daripada tarikh akhir asal, iaitu 20 Julai 2025, hampir dua bulan lebih awal.

“Pusat Khidmat DUN Dalat amat berpuas hati dengan mutu kerja dan komitmen kontraktor yang berjaya menyiapkan projek lebih awal untuk manfaat rakyat,” katanya.

Projek ini yang bermula pada Januari 2025 merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan negeri untuk membangunkan infrastruktur luar bandar selaras dengan matlamat menyeimbangkan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.-EDISI UKAS