HAWANA: Pengamal Media Perlu Pantas Daripada Netizen

Posted on 19 May 2024
Source of News: UKAS




KUCHING: Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 berfungsi sebagai platform penting bagi mengukuhkan hubungan strategik media profesional dan pakar industri untuk bertukar idea dan pendapat khususnya mengenai kepantasan dalam menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat umum.

Berbaki kurang seminggu lagi HAWANA 2024 akan berlangsung pelbagai persiapan dilakukan bagi meninggalkan kesan  jangka masa panjang kepada landskap kewartawanan negara.

Dengan mengangkat tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’, lebih 800 orang pengamal media tempatan dan media dari negara jiran juga dijangka menghadiri HAWANA 2024. 

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sempat menemubual beberapa rakan wartawan yang akan menghadiri HAWANA 2024 bermula pada 25 hingga 27 Mei ini.

Jurugambar akhbar The Star, Zulazhar Sheblee berkata, cabaran yang dihadapi sebagai pengamal media pada masa kini adalah mereka perlu lebih pantas daripada netizen. 

Beliau yang sudah berkecimpung dalam dunia kewartawanan selama 31 tahun sejak 1993 menyifatkan teknologi digital telah mengubah warga siber untuk jadi lebih pantas dalam menyebarkan maklumat menerusi media sosial.

“Di zaman era digital ini masalah kami adalah kami perlu pantas, kalau hendak pergi ke sesuatu tempat kejadian, kami kena cepat sebab netizen sekarang ini lagi cepat untuk memasukkan dalam media sosial seperti Facebook, Jadi itulah cabaran kami sebagai jurugambar. 

“Harapan saya dengan HAWANA yang akan datang ini agar pengamal media di Sarawak ini diperakui oleh syarikat mereka. Kalau boleh skim gaji untuk pengamal media di Sarawak boleh diselaraskan,” katanya.

Sementara itu, Shahrul Qaizat yang berkhidmat di syarikat akhbar tempatan, Utusan Sarawak menyifatkan, salah satu cabaran utama di sebalik dunia kewartawanan adalah penyebaran berita palsu. 

“Kami semua wartawan perlu 'melawan' segala berita palsu ini, agak susah lebih lagi khabar angin di media sosial, jadi kami sebagai pengamal media yang sah sentiasa berusaha untuk melawan segala berita palsu supaya masyarakat tahu yang mana sahih atau tidak sahih. 

“Untuk HAWANA tahun ini saya berharap ia lebih baik daripada penganjuran tahun sebelum ini,” katanya. 

Azreen Keria, rakan wartawan Utusan Sarawak turut senada menyatakan bahawa cabaran yang selalu dihadapi pengamal media adalah penyebaran berita palsu, ini kerana ramai pengguna media baharu dan media sosial pada hari ini 'mengambil alih' tugas wartawan dengan menyebarkan maklumat tanpa batas masa.

“Cabaran yang dihadapi kami sebagai wartawan ini adalah untuk mendapatkan berita yang sahih kerana seperti yang kita tahu banyak berita palsu disebarkan, jadi kami sebagai wartawan perlu bertanya dari mana-mana pihak atau saluran yang betul bagi memastikan berita tersebut sahih untuk disampaikan kepada rakyat. 

“Harapan saya untuk HAWANA tahun ini, supaya wartawan di seluruh Malaysia diiktiraf agar kami lebih dihargai. Dengan adanya HAWANA ini boleh membuka mata telinga semua rakyat untuk memahami kerjaya kami,” ujarnya. -EDISI UKAS