55,457 Penerima Terima Bantuan eBantuanJKM Bernilai RM123.78 Juta Seluruh Malaysia

Disiarkan pada 13 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Seramai 55,457 penerima di seluruh negara telah menerima bantuan kebajikan berjumlah RM123.78 juta menerusi sistem eBantuanJKM sehingga Mei 2025.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, daripada jumlah itu, 45,509 penerima melibatkan bantuan di bawah Kerajaan Persekutuan dengan nilai keseluruhan RM108.19 juta, manakala 9,948 penerima di Sarawak menerima bantuan berjumlah RM15.60 juta.

Menurutnya, sistem eBantuanJKM yang telah diguna pakai sejak 15 tahun lalu kini diperketatkan bagi mengelakkan penyelewengan dan memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.

“Dulu ada yang ambil kesempatan sebab sistem kurang ketat, tapi sekarang peluang untuk menyeleweng memang tiada. Sistem ini sangat efisien dan kita yakin ia boleh diperluaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penggunaan sistem eBantuanJKM di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, Sarawak sebelum ini menggunakan sistem sendiri, namun penyelarasan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan kini sedang diperhebat dengan matlamat mencapai sistem yang lebih bersepadu menjelang tahun 2026.
Dato’ Sri Nancy turut menekankan peranan JKKK dan NGO dalam membantu menyebarkan maklumat serta membawa individu yang layak mendapatkan bantuan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD).

“Saya juga ingatkan pegawai kebajikan supaya tidak menyusahkan rakyat. Mudahkan urusan mereka supaya mereka tidak takut untuk datang meminta pertolongan,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Pengarah JKM Sarawak, Semawi Mohamad serta Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datu Felicia Tan Ya Hua.–EDISI UKAS