KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bakal memperkenalkan sistem baharu dikenali sebagai Sistem Pengurusan Bantuan Kebajikan 2.0 (SPBK 2.0) menjelang akhir tahun 2026, menggantikan sistem sedia ada, eBantuanJKM, yang telah digunakan lebih 15 tahun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, SPBK 2.0 dibangunkan bagi mengatasi kekangan teknologi sistem lama, seiring dengan inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
“SPBK 2.0 akan berfungsi sepenuhnya secara dalam talian, menggunakan platform digital yang selamat, berintegriti dan mesra pengguna. Ia turut memanfaatkan teknologi terkini seperti business intelligence, Sistem Maklumat Geografi (GIS), notifikasi automatik dan cloud computing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penggunaan Sistem eBantuanJKM di Sarawak, di sini, pada Jumaat.
Lebih penting, ujar beliau, SPBK 2.0 akan diintegrasikan dengan pelbagai sistem kerajaan termasuk PADU, eKASIH, iSPEKS, iGFMAS, myIDENTITY dan MyGDX, sekali gus mempercepatkan proses siasatan serta pemberian bantuan berdasarkan data sahih.
“Ini adalah contoh pendekatan whole-of-government yang memberi fokus kepada penyampaian perkhidmatan secara bersepadu, pantas dan responsif kepada rakyat,” jelasnya.
Dato Sri Nancy turut optimis penggunaan sistem baharu itu bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan dari sudut teknikal, malah memperkukuh budaya kerja yang progresif dan berfokus kepada rakyat.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha membina masyarakat digital yang inklusif dan saksama, seperti yang digariskan dalam agenda Malaysia MADANI dan Pelan Transformasi Perkhidmatan Digital Sektor Awam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan; Pengarah JKM Sarawak, Semawi Mohamad; serta Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datu Felicia Tan Ya Hua.-EDISI UKAS