Karnival Gawai Tradisi 2025 Meriahkan Miri Selama Dua Hari

Disiarkan pada 13 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


MIRI: Karnival Gawai Tradisi Tahun 2025 Peringkat Sarawak telah berlangsung meriah selama dua hari, bermula 12 hingga 13 Jun 2025 bertempat di perkarangan bangunan Pejabat Persekutuan Persatuan Orang Ulu Malaysia (FORUM).

Pelbagai pengisian kebudayaan dan tradisi masyarakat Dayak, khususnya komuniti Orang Ulu yang bertindak sebagai penyelaras utama bagi penganjuran kali ini.

Majlis perasmian rasmi karnival akan diadakan pada 13 Jun 2025 dan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Sepanjang karnival ini, pelbagai aktiviti dan pertandingan berunsur tradisi akan dianjurkan bagi memeriahkan suasana, antaranya sebanyak 13 jenis pertandingan tradisi yang berlangsung pada waktu siang.

Pada malam 12 Jun, pengunjung akan dihiburkan dengan Pertandingan Tarian Datun Julud dan persembahan sape, yang menyaksikan penyertaan 20 kumpulan dari pelbagai daerah di Sarawak.

Manakala malam 13 Jun pula merupakan acara kemuncak karnival iaitu Pertandingan Miss Gawai Sarawak bakal menampilkan 13 orang peserta yang merupakan juara di peringkat bahagian seluruh negeri.

Tiket masuk untuk acara malam Miss Gawai Sarawak dijual pada harga RM20 seorang, termasuk kanak-kanak.
Selain itu, gerai makanan tradisional dan kraftangan tempatan turut dibuka kepada pengunjung sepanjang dua hari karnival, menampilkan pelbagai hidangan dan barangan etnik masyarakat tempatan.

Bagi memudahkan kehadiran orang awam, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma dari Miri Central Bus Terminal ke tapak karnival yang beroperasi bermula jam 7 pagi hingga 11 malam pada 12 dan 13 Jun.

Karnival ini dijangka menjadi platform penting untuk memperkukuh identiti budaya serta mempererat hubungan antara komuniti pelbagai kaum di Sarawak, sekali gus menyemarakkan semangat Gawai yang diwarisi turun-temurun.-EDISI UKAS