DEBAK: Penduduk Debak bakal menikmati kemudahan baharu apabila sebuah balai raya komuniti bernilai RM400,000 sedang giat dibina di kawasan itu.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam, pembinaan balai raya ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa infrastruktur luar bandar dan memenuhi keperluan rakyat.
“Balai raya ini bukan sahaja simbol pembangunan fizikal tetapi juga menjadi tempat menyatukan komuniti serta menjayakan pelbagai program sosial dan kebudayaan,” ujarnya semasa melakukan lawatan ke tapak projek, pada Khamis.
Datuk Mohammad Razi turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku agensi pelaksana dan berharap projek yang dijalankan oleh Joeruld Gold Enterprise ini dapat disiapkan mengikut jadual serta menepati spesifikasi yang ditetapkan demi kesejahteraan penduduk setempat.
Balai raya berkenaan bakal menyediakan ruang yang kondusif dan selesa bagi penganjuran pelbagai aktiviti masyarakat seperti mesyuarat, majlis perkahwinan, program keagamaan serta aktiviti belia dan wanita.-EDISI UKAS