KUCHING: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) meneruskan komitmennya terhadap prinsip Environmental, Social, and Governance (ESG) melalui inisiatif tahunan LCDA Prihatin 2025 dengan memberi bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Bintawa Ulu.
Program di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini menyasarkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan, seiring dengan tema “From the Community, To the Community” yang menjadi asas pelaksanaan LCDA Prihatin.
Sebagai sebahagian daripada usaha membantu mangsa bencana, LCDA telah menyalurkan sumbangan wang tunai kepada dua keluarga terjejas iaitu Delima Juni, 53, dan Norliza Bahari, 51, dalam satu majlis penyampaian yang diadakan di Kampung Bintawa Ulu, pada Rabu.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengurus Bahagian Hal Ehwal Korporat LCDA yang mewakili Pengurus Besar LCDA, Sapheri Rosli.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Korporat LCDA, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha jangka panjang agensi tersebut dalam memperkukuh impak sosial kepada komuniti, selaras dengan prinsip ESG yang semakin menjadi fokus dalam tadbir urus korporat.
Dengan pelaksanaan LCDA Prihatin, agensi berkenaan berharap dapat terus memainkan peranan aktif dalam menyokong masyarakat setempat, khususnya mereka yang ditimpa musibah.
Majlis turut dihadiri oleh Penghulu Lahan Sabu, Ketua Kampung Bintawa Hilir, Tahir Kassim, Ketua Kampung Bintawa Tengah, Sidek Kassim, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pegawai-pegawai LCDA.-EDISI UKAS