KUCHING: Pihak Tegas Digital Village telah mengadakan satu kunjungan hormat kepada Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan dengan tujuan untuk menjalin hubungan strategik jangka panjang serta memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam pelbagai inisiatif pada masa hadapan.
Kunjungan ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tegas Digital Village, Udin Bujang, bersama barisan pengurusan kanan termasuklah Pengurus Kanan Tegas Community Innovation Learning, Fredick Kevin Buseli, Pengurus Program dan Perkongsian, Afida Khasuma; Pengurus Komunikasi Korporat & Sekretariat, Mohd Shafiee Emund; Eksekutif Korporat, Lista Narawi dan Penolong Eksekutif (Pejabat CEO), Komunikasi Korporat dan Sekretariat Sharifah Farah.
Kunjungan tersebut dilihat sebagai satu langkah penting untuk merintis potensi kolaborasi strategik antara Tegas Digital Village dan UKAS, khususnya dalam bidang transformasi digital, inovasi komuniti, pembangunan belia serta komunikasi strategik di Sarawak.
Pihak UKAS menyambut baik kunjungan tersebut dan menyatakan komitmen mereka untuk menyokong usaha pembangunan komuniti yang seiring dengan dasar serta objektif komunikasi strategik kerajaan negeri.
Pertemuan ini turut membuka ruang bagi pertukaran pandangan dan perancangan awal dalam membentuk program bersama yang mampu memperkasakan komuniti melalui pendekatan teknologi dan inovasi. -EDISI UKAS