KUCHING: Perancangan pembangunan fizikal yang lebih seimbang dan berimpak tinggi menjadi tumpuan utama dalam Bengkel Penyediaan Senarai Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Bahagian Betong 2026.
Bengkel diadakan pada 10 hingga 11 Jun di Kuching itu telah dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Dalam bengkel tersebut, beliau telah menyaksikan penyelarasan perancangan 25 projek pembangunan untuk kawasan Kabong dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5 juta.
Projek-projek tersebut merangkumi tiga sektor utama yang menyentuh keperluan asas rakyat iaitu jalan dan jambatan sebanyak 11 projek dengan peruntukan berjumlah RM2.16 juta, kemudahan pembinaan sebanyak tujuh projek dengan peruntukan berjumlah RM1.42 juta dan sektor sosial sebanyak tujuh projek dengan peruntukan RM1.42 juta.
Tiga agensi pelaksana utama dikenal pasti untuk menjayakan projek-projek berkenaan ialah Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Saratok (MDS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).
Menurut Dato Mohd Chee, setiap projek yang dicadangkan bukan sahaja bersifat prasarana, tetapi juga menyasarkan kesejahteraan dan kemudahan rakyat.
Justeru, beliau menegaskan keperluan kerjasama strategik antara semua agensi pelaksana agar hasil pembangunan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti setempat.-EDISI UKAS