KUCHING: Pembinaan Jambatan Sejingkat yang sedang dalam pelaksanaan kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 52.45 peratus berbanding sasaran tahunan sebanyak 59.75 peratus.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, kelewatan kira-kira 7.3 peratus itu disebabkan beberapa isu teknikal, terutamanya berkaitan kerja sementara melibatkan penggunaan ‘form traveller’, peralatan penting dalam pembinaan struktur jambatan.
Menurutnya, mengikut kontrak yang telah disemak semula, tarikh siap projek ini ditetapkan pada Februari 2026, namun ekoran kelewatan berkenaan, kontraktor menyatakan komitmen untuk menyiapkannya sebelum Jun 2026.
“Kini, kemajuan fizikal projek atau kontrak mengalami sedikit kelewatan, iaitu kemajuan fizikal berada pada 52.45 peratus berbanding sasaran tahunan sebanyak 59.75 peratus.
“Ini bermakna terdapat kelewatan sebanyak 7.3 peratus yang disebabkan oleh beberapa isu teknikal, terutamanya melibatkan kerja sementara yang menggunakan ‘form traveller’,” jelas beliau.
Beliau menjelaskan demikian dalam sesi sidang media sempena lawatan kerja beliau ke tapak pembinaan Jambatan Sejingkat, di sini pada Rabu.
Datuk Ir Aidel menambah bahawa kontraktor sedang berusaha menyelesaikan isu berkenaan, termasuk mengambil langkah mengimport dua set ‘form traveller’ terus dari China bagi mempercepatkan semula proses pembinaan.
Jambatan sepanjang 1.28 kilometer (km) dengan tinggi 26 meter dari paras sungai dengan tiang setinggi 119 meter itu menelan kos sebanyak lebih RM360 juta.
Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni. -EDISI UKAS