Sarawak Contoh Semangat Perpaduan Kukuh

Disiarkan pada 19 May 2024
Sumber Berita: UKAS



SIMUNJAN: Sarawak menjadi contoh semangat perpaduan yang kukuh dalam meraikan kepelbagaian kaum dan etnik.

 

Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, semangat perpaduan itu menjadi kebanggan rakyat Sarawak yang mempunyai kepelbagaian kaum seperti perbezaan bahasa, perayaan serta kepercayaan.

 

"Dalam kepelbagaian ini kita mempunyai satu matlamat iaitu hidup secara harmoni dan hormat menghormati antara satu sama lain.

 

"Kita tidak mahu ada orang luar yang cuba mengganggu serta memecahbelahkan perpaduan di Sarawak dan sama-samalah kita mempertahankan perpaduan dan kerjasama antara kita," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra Gawai Tahun 2024 Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Sungai Lingkau Hilir di sini pada Sabtu.

 

Dalam pada itu, Rodiyah turut memaklumkan bahawa beliau telah meluluskan dua set kanopi berserta 12 meja dan 100 kerusi kepada penduduk Kampung Sungai Lingkau Hilir.

 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris memberitahu bahawa beliau begitu bangga sekali penduduk kampung ini dapat bekerjasama dan bersatu hati antara satu sama lain.

 

Oleh itu, beliau menyeru penduduk kampung di bawah naungan Persatuan Penduduk Kampung Sungai Hilir agar dapat mencari satu sumber pendapatan bagi meningkatkan dan menambahkan ekonomi bagi persatuan tersebut.

 

Hadir sama ialah isteri kepada Awla, Napsiah Abang Kaderi, Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli, Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan Bojeng Ali, Ketua Pergerakan Wanita Parti Persatuan Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan Kaunselor Rosita Poni, Penghulu Jubin Sili dan Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Sungai Lingkau Hilir Tawan Jawa. -EDISI UKAS