Sarawak Dan Shanghai Perkukuh Hubungan Dua Hala

Disiarkan pada 10 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


SHANGHAI: Hubungan dua hala antara Sarawak dan Shanghai, China akan terus diperkukuhkan menerusi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, kuasa ekonomi dimiliki Shanghai sangat bertepatan dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi wilayah terkuat dari segi ekonomi di Malaysia.

“Untuk mengekalkan kelebihan ini, kita memerlukan banyak perkara antaranya tenaga lestari, bakat, teknologi, R&D (Penyelidikan dan Pembangunan) dan sebagainya.

“Shanghai adalah pusat R&D terkemuka di seluruh China,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Shanghai, Gong Zheng di Hotel Shanghai Jiushi Hengshan Grand di sini pada Selasa.

Katanya, semasa perjumpaan tersebut, Gong Zheng berkongsi mengenai Shanghai yang merupakan hab logistik terkemuka dalam sektor penerbangan, pelabuhan, inovasi serta R&D di seluruh China, menjadikannya pusat ekonomi terbesar di negara berkenaan.

“Kita juga mengambil peluang untuk berkongsi mengenai aspirasi Sarawak sebagai hab dalam tenaga hijau termasuk aspirasi kita dalam sektor R&D khususnya bersama Universiti Fudan, sekolah perubatan dan sebagainya,” tambah Datuk Amar Profesor Dr Sim.

Malah katanya, Gong Zheng sangat menyokong kolaborasi antara Shanghai Electric dan Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam pembangunan tenaga hijau dan diperbaharui kerana ia akan meningkatkan lagi peluang Sarawak dalam sektor berkenaan.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Dato Ibrahim Baki; Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Datu Jafri Lias, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili; Pemangku Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Nur Athira Hani Abdul Rahman serta tetamu lain. - EDISI UKAS