Pendidikan Kesinambungan Legasi Pimpinan Sarawak

Disiarkan pada 19 May 2024
Sumber Berita: UKAS



SIMANGGANG: Pendidikan merupakan kesinambungan kepada legasi kepimpinan Sarawak pada masa hadapan.
 

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, ibu bapa dan guru harus bekerjasama memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan yang sewajarnya.

 

“MEITD sentiasa memberi sokongan memastikan kemenjadian murid menguasai kepakaran teknikal terutama dalam melahirkan modal insan berkualiti selari dengan keperluan kepakaran pada masa kini.

 

“Kemajuan dalam pendidikan terutama dalam aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sangat berguna dalam mendepani era Revolusi Industri (IR) 4.0 dimana kepakaran teknikal banyak membantu menyumbang kepada pembangunan negara.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Tembok Penahan Hakisan, Dataran Kejat dan Tempat Letak Kereta di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di sini pada Jumaat.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu menambah, peranan MEITD dalam membangunkan modal insan bermula dari promosi meminati subjek sains dengan menganjurkan pertandingan inovasi di peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi.

 

Sementara itu, Datuk Francis berkata, peruntukan sebanyak RM200,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) telah disiapkan sepenuhnya pada awal tahun 2024.

 

Katanya, projek berkenaan telah menyelesaikan isu keselamatan tanah runtuh dan menyediakan kemudahan yang lebih selesa untuk warga sekolah.

 

Dalam majlis sama, beliau juga menyampaikan cek peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada empat pertubuhan sebanyak RM5,000 masing-masing dengan jumlah keseluruhan RM20,000.

 

Turut hadir ialah Walikota Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Anthony Abell Chendan, Guru Besar SJK(C) Chung Hua Undop Bong Set Khium, Pengerusi Pengelola Alexander Goh Boon Ping dan Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Chung Hua Undop Jastine Bujang Temenggong. -EDISI UKAS