Aidiladha Satukan Komuniti Mukah, Sembilan Ekor Lembu Dikorbankan

Disiarkan pada 10 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Semangat Aidiladha menyatukan komuniti Mukah apabila program ibadah korban anjuran Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib, berjaya dilaksanakan dengan kerjasama padu antara pelbagai pihak di kawasan Parlimen tersebut.

Sebanyak sembilan ekor lembu korban telah disumbangkan oleh beliau dan keluarga sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Ibadah korban itu dilaksanakan secara berperingkat iaitu pada Hari Raya Pertama (3 ekor), Hari Kedua (2 ekor), dan Hari Ketiga (4 ekor), di Kala Dana Mukah.

Turut menyumbang dua ekor lembu ialah pihak 101 Superman Speedmart Mukah, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 11 ekor lembu.

Program korban ini turut melibatkan agihan daging kepada penduduk dan institusi di seluruh kawasan Parlimen Mukah termasuk Surau Al Qayum Kampung Tegak, JKKK Kampung Sg. Alo, Kampung Pulat Balingian, Kampung Tellian Laut, Kampung Judan Hilir, Kampung Teh Dalat, Kampung Balan, Kampung Medong, Kampung Jebungan, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Sibu) serta Urusetia Saudara Kita.

Turut menjadi tumpuan adalah semangat gotong-royong dalam proses melapah dan mengagihkan daging korban yang memperlihatkan kesatuan masyarakat pelbagai latar belakang di kawasan Parlimen Mukah.

Program seperti ini jelas membuktikan bahawa sambutan Aidiladha bukan sahaja tentang ibadah, tetapi juga tentang membina ukhuwah, perpaduan dan keprihatinan sosial.-EDISI UKAS