IGAN: Projek Pembinaan Jambatan Batang Igan yang sedang giat dilaksanakan bakal menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar di kawasan tengah Sarawak, khususnya di sekitar Kampung Igan dan DUN Jemoreng.
Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, dalam satu lawatan kerja ke tapak projek menzahirkan keyakinan bahawa jambatan bernilai RM285.5 juta itu akan mempercepatkan hubungan antara kawasan pedalaman dan bandar, sekaligus membuka lebih banyak peluang ekonomi dan sosial kepada penduduk setempat.
“Projek ini bukan sahaja akan mempercepatkan akses antara kawasan pedalaman dan bandar, malah akan merancakkan aktiviti ekonomi penduduk sekitar.
"Saya berharap agar momentum ini dikekalkan sehingga projek siap sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat bersama kontraktor dan jurutera projek pada Selasa.
Setakat Jun 2025, projek ini mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 82.81 peratus melepasi jadual asal (82.79%).
Kejayaan ini dianggap petunjuk positif terhadap pengurusan projek yang cekap dan komitmen kukuh daripada semua pihak terlibat.
Projek strategik ini merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam merapatkan jurang pembangunan luar bandar, melalui penyediaan infrastruktur yang mampan dan menyeluruh.
Jambatan Batang Igan, apabila siap kelak, dijangka bukan sahaja memudahkan mobiliti rakyat, malah menjadi penyokong utama kepada pertumbuhan sektor pelancongan, pertanian, dan perusahaan kecil di kawasan sekitarnya.
Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau beberapa struktur utama jambatan dan mengadakan sesi dialog bersama pegawai teknikal untuk meneliti sebarang isu yang timbul serta memastikan langkah susulan dapat diambil segera.
Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2025, sekiranya cuaca dan faktor teknikal kekal terkawal.-EDISI UKAS