Padi Hibrid Pemangkin Transformasi Industri Padi dan Beras Sarawak

Disiarkan pada 10 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: Penanaman padi hibrid berpotensi menjadi pemacu utama dalam mentransformasikan industri padi dan beras di Sarawak, dengan hasil tanaman yang mampu mencecah sehingga 14 metrik tan sehektar, jauh mengatasi varieti padi tradisional.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, penggunaan padi hibrid seperti varieti GS30 dari China merupakan antara inisiatif baharu yang sedang diteroka menerusi projek perintis di Skim Penanaman Padi Tanjung Purun, Lundu.

“Dengan kombinasi teknologi, kejenteraan dan komitmen sektor swasta, kita dapat meningkatkan pengeluaran dan menjadikan industri ini lebih mampan serta kompetitif,” katanya ketika lawatan kerja sempena Program Walkabout ke tapak penanaman tersebut di Lundu pada Selasa.

Beliau menegaskan, kerjasama awam dan swasta merupakan elemen penting dalam melonjakkan produktiviti dan rantaian nilai industri, sekali gus menyumbang kepada keterjaminan makanan jangka panjang.

Antara strategi utama yang digariskan M-Ficord termasuk peluasan kawasan penanaman di tanah kerajaan dan NCR; pemerkasaan mekanisasi dalam sektor pertanian; dan pengukuhan jaringan kerjasama dengan sektor swasta.

“Syarikat Baja Engineering kini menerajui projek plot padi hibrid di sini, dan berdasarkan dapatan awal, varieti ini mampu memberikan hasil 2 hingga 4 kali ganda berbanding padi biasa,” jelas beliau.

Selain menyeru Jabatan Pertanian Sarawak agar turut melatih petani untuk memasarkan hasil dan bukan hanya menanam, beliau turut menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran agar menyesuaikan pendekatan untuk menyokong keperluan sektor pertanian di kawasan luar bandar.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian (Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Datuk Martin Ben, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan, ADUN Opar, Billy Sujang dan ADUN Beting Maro, Razaili Gapor.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat; wakil Hubei Ceres Technology China, Dr Ding; dan Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusup Awang Mostapha.-EDISI UKAS