Seminar Antarabangsa Kupas Krisis Iklim dari Perspektif Kemanusiaan dan Pelbagai Dimensi

Disiarkan pada 10 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


Seminar Antarabangsa Kupas Krisis Iklim dari Perspektif Kemanusiaan dan Pelbagai Dimensi

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS), dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), bakal menganjurkan International Seminar on Humanity and Climate Change Crisis: A Multidimensional Perspective pada 29 hingga 30 Julai 2025 bertempat di Kompleks Islam Kuching.

Menurut satu kenyataan media pada Selasa, seminar selama dua hari ini bertujuan membincangkan secara mendalam dimensi kemanusiaan dalam isu perubahan iklim, satu isu kritikal yang semakin menjadi perhatian global. 

“Ia akan menghimpunkan penggubal dasar, ahli akademik, penyelidik serta wakil masyarakat dalam usaha merangka pendekatan bersepadu berlandaskan nilai kemanusiaan dan keadilan sosial bagi menangani cabaran perubahan iklim secara holistik,”jelasnya.

Kenyataan media ini dikeluarkan selepas pertemuan antara delegasi Majlis Islam Sarawak (MIS) yang diketuai oleh Yang diPertua MIS, Datu Misnu Taha, dengan wakil MEESty dan IKIM di Pejabat MIS pada Selasa. 

Mesyuarat tersebut membincangkan persiapan terakhir serta kerjasama strategik bagi memastikan kejayaan seminar antarabangsa ini, selain memperkukuh komitmen bersama dalam menangani isu perubahan iklim melalui pendekatan holistik dan berteraskan nilai-nilai islam.

Antara objektif utama seminar ini ialah untuk memahami krisis iklim menerusi hubungan manusia dan alam, nilai-nilai Islam, serta penyelesaian yang lestari dan inklusif sejajar dengan prinsip pembangunan mampan.

Seminar turut dijangka menampilkan ucaptama oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin, selaku tetamu kehormat.

Selain sesi utama, seminar juga akan menampilkan pembentangan berkaitan etika dan perubahan iklim dengan penekanan terhadap perspektif Islam, serta perbincangan mengenai teknologi hijau dan tadbir urus alam sekitar.

Majlis pelancaran buku hasil penerbitan terkini daripada IKIM dan MIS turut dijadualkan, disusuli pameran yang mempamerkan pelbagai inisiatif kelestarian daripada pelbagai agensi dan organisasi.

Maklumat lanjut berkaitan pendaftaran serta penyertaan akan diumumkan dalam masa terdekat melalui laman sesawang dan saluran media sosial rasmi MIS, IKIM dan MEESty. 

Dalam pada itu, orang ramai dan pihak media digalakkan untuk mengikuti saluran tersebut bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Mual Suaud, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr Mohd Zaidi Ismail serta pegawai-pegawai daripada MIS, MEESty dan IKIM.-EDISI UKAS