BINTANGOR: Proses pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan DUN Meradong perlu dipercepat bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat menjelang hujung tahun ini.
Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing semasa mempengerusikan sesi Dialog Bersama Agensi Pelaksana Projek RTP yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Meradong, pada Isnin.
Dialog ini bertujuan menilai perkembangan semasa pelaksanaan projek serta mengenal pasti isu yang menyebabkan kelewatan.
Sesi tersebut disertai pelbagai wakil agensi pelaksana termasuk Residen Sarikei, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Jabatan Tanah dan Survei, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak serta agensi lain.
Datuk Ding menegaskan bahawa cabutan undi perlu dilaksanakan segera agar tidak berlaku kelewatan dalam memulakan projek, memandangkan sudah memasuki pertengahan tahun.
Beliau turut mengingatkan agar setiap agensi memastikan kerja dilaksanakan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan.
“Rakyat menanti hasil pembangunan ini. Jika projek lambat siap, manfaat kepada mereka juga tertangguh. Ini bukan hanya soal fizikal, tetapi soal kesejahteraan masyarakat,” ujar beliau.
Dalam sesi yang sama, beliau turut meneliti isu gangguan bekalan air yang dilaporkan kerap berlaku di kawasan Batu 5, Jalan KJD Bintangor.
Wakil JBALB Bahagian Sarikei, Ling Kah Wei memberikan penjelasan dan memaklumkan tindakan susulan sedang diambil.
Beliau menutup sesi dengan menyeru agar semua agensi terus menjalinkan kerjasama erat bagi memastikan semua projek RTP di Meradong berjalan lancar demi kepentingan rakyat.-EDISI UKAS