SHANGHAI: Usaha Sarawak untuk menjadi peneraju dalam tenaga diperbaharui serantau terus diperhebatkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama China Three Gorges International Ltd (CTGI) dan Shanghai Electric Power T&D Group Co. Ltd.
Majls menandatangani MoU tersebut diadakan semasa Persidangan Fotovoltaik Solar dan Tenaga Pintar Antarabangsa 2025 (SNEC PV) Ke-18 di Shanghai, China pada Selasa.
Menerusi kolaborasi strategik itu, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, CTGI dan Shanghai Electric akan bersama-sama menjalankan pelbagai kajian dan bekerjasama meneroka potensi pembangunan solar terapung, dengan kapasiti tidak melebihi 1,000 Megawatt (MW), di kawasan tadahan Loji Hidroelektrik (HEP) Bakun.
MoU tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Tetap MUT, Datu Jafri Lias bersama Naib Presiden CTGI, Zhang Kai Hong dan Naib Presiden Shanghai Electric, Yang Xing Hai.
Ia turut disaksikan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Dato Ibrahim Baki bagi mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut Dato Ibrahim semasa menyampaikan teks ucaptama Premier Sarawak, Sarawak berbesar hati untuk menjalin pakatan strategik ini dengan rakan industri yang kukuh seperti CTGI dan Shanghai Electric, kerana menyokong matlamat negeri ini untuk memastikan keselamatan tenaga dan kemampanan alam sekitar.
“Sarawak kini mempunyai kapasiti penjanaan kira-kira 5,900MW (tenaga), kebanyakannya daripada sumber kuasa hidro yang boleh diperbaharui.
“Menjelang 2030, Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan 10GW, dan 15GW menjelang 2035, dengan sumber boleh diperbaharui membentuk lebih 60 peratus daripada campuran kapasiti.
“Dengan sumber tenaga boleh diperbaharui yang luas, Sarawak mempunyai potensi untuk menjadi kuasa tenaga boleh diperbaharui di rantau ini,” katanya semasa berucap.
Beliau yang juga Pengerusi SEB menambah, Sarawak berjaya menjana kuasa daripada pemasangan solar berskala besar pertamanya di HEP Batang Ai pada Disember 2024.
Tambahnya, inisiatif ini akan membuka ruang untuk pembangunan selanjutnya solar terapung di Sarawak di lain-lain kawasan tadahan kuasa hidro melalui pelaburan yang dibiayai oleh swasta.
Sementara itu, delegasi Kerajaan Sarawak diketuai Dato Ibrahim Baki turut berkesempatan mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Shanghai Elektric di Wilayah Minhang, China.
Ketibaan mereka disambut oleh Pengerusi Shanghai Electric Holding Group, Wu Lei dan pegawai kanan syarikat berkenaan.
Manakala delegasi Kerajaan Sarawak turut disertai Datu Jafri Lias dan Datuk Sharbini Suhaili.
Terdahulu, Dato Ibrahim dan delegasi telah diberi taklimat mengenai operasi Shanghai Elektric.
Ia disusuli dengan mesyuarat dua hala kira-kira sejam, membincangkan pelbagai kerjasama strategik antara kedua pihak. – EDISI UKAS