LUNDU: Program RAKAN Sarawak ‘Destiny Mover Legacy’ 2050 anjuran bersama Faradale Media-M dengan kerjasama Unit Pentadbiran Jabatan Premier Sarawak, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak merupakan sebuah program yang mampu mengetengahkan keunikan dan potensi yang terdapat di Daerah Lundu dan Daerah Kecil Sematan sebagai sebuah destinasi pelancongan utama di masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, program ini telah berjaya menghimpunkan pelbagai aktiviti yang berinteraktif melalui pengalaman teater dan permainan sambilo untuk memperoleh maklumat berkenaan program pembangunan di daerah Lundu ini sendiri.
Menurut beliau, perkara ini sekaligus membuka potensi Lundu sebagai sebuah destinasi pelancongan serta mempersiapkan mentaliti penduduk setempat dengan menggalakkan penglibatan semua pihak dalam usaha untuk memastikan daerah Lundu mampu berdaya saing dalam menghadapi kerancakkan sektor ekonomi berasaskan pelancongan.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis penutupan program tersebut pada petang Sabtu.
Menjelas lanjut, beliau bersama ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan sangat mengalu-alukan program seumpama ini yang mana ianya bukan sahaja memberi manfaat kepada Lundu secara keseluruhannya malahan turut membantu mendidik masyarakat untuk berpandangan jauh serta mencari kaedah terbaik untuk membangunkan Lundu.
Hadir sama, Pengerusi Faradale Media-M Sdn Bhd Dato Norhayati Mohd Ismail, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi dan Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Ali Suhaili. -EDISI UKAS