Barber Battle Platform Belia Berkarya, Berniaga dan Menyerlahkan Bakat di Miri

Posted on 09 Jun 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Pertandingan Barber Battle yang julung kali dianjurkan di Miri bukan sahaja menyemarakkan suasana bandar, malah menjadi medan penting bagi golongan belia menyerlahkan bakat, menjana pendapatan serta menyumbang kepada pembangunan komuniti kreatif tempatan.

Timbalan Datuk Bandaraya Miri, Ariffin Mohamad menyifatkan acara ini sebagai pemangkin kepada perkembangan ekonomi kreatif di bandar tersebut yang semakin berkembang sebagai pusat gaya hidup belia dan inovasi.

“Miri bukan sahaja bandar minyak dan pelancongan, tetapi kini menjadi medan subur untuk ekonomi kreatif dan gaya hidup.

“Barber Battle ini telah menambah warna dalam landskap acara tempatan kita memberi peluang kepada belia berkarya, berniaga dan menyumbang kepada pembangunan komuniti,” ujar beliau semasa Majlis Penutupan Barber Battle Event di Miri Visitor Information Centre, pada Ahad.

Acara kemuncak pertandingan yang berlangsung selama lima hari itu menarik lebih 60 penyertaan dalam dua kategori iaitu Classic Cut dan Creative Cut, melibatkan peserta dari seluruh Malaysia serta penyertaan antarabangsa dari Brunei Darussalam.

Pemenang utama bagi Kategori Classic Cut ialah Dzulkarnain Manudin dari Lawas, manakala Kategori Creative Cut dimenangi oleh Tradius Mui dari Sabah.

Mereka membawa pulang wang tunai dan peralatan profesional tajaan penaja utama.

Acara ini sekali gus mengukuhkan peranan Miri sebagai pusat pembangunan TVET, keusahawanan dan ekonomi kreatif yang semakin rancak di Borneo.-EDISI UKAS