1,200 Asnaf Terima Agihan Korban di Program Qurban Perdana Lundu 2025

Disiarkan pada 08 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: Seramai 1,200 golongan asnaf dari sekitar Daerah Lundu dan Daerah Kecil Sematan menerima agihan daging korban sempena Program Ibadah Qurban Perdana Peringkat Daerah Lundu Tahun 2025 pada Ahad.

Program tersebut dilaksanakan serentak di empat lokasi mengikut zon iaitu di Kampung Stoh (Zon Sampadi), Kampung Siru Melayu (Zon Sematan), Kampung Sekambal Melayu (Zon Pandan), dan Kampung Stunggang Melayu (Zon Lundu).

Sebanyak 14 ekor lembu telah dikorbankan bagi menjayakan program berkenaan, yang bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan serta memperluas manfaat ibadah korban kepada golongan memerlukan.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato’ Sri Nancy Shukri, bertempat di Masjid An-Nur, Kampung Stunggang Melayu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan; Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL), Datuk Amar Jamilah Anu; Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, Ustaz Hamdan Haji Jar’ee; dan Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusup Awang Mostapha.-EDISI UKAS