479 Asnaf Terima Agihan Daging Korban di Daerah Asajaya

Disiarkan pada 08 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


ASAJAYA: Seramai 479 orang asnaf di sekitar Daerah Asajaya menerima agihan daging korban sempena Majlis Penyerahan Daging Korban Daerah Asajaya 2025 yang berlangsung di Kampung Asajaya Laut, hari ini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.

Menurut pihak penganjur, sebanyak 14 ekor lembu telah dikorbankan hasil sumbangan orang ramai serta beberapa badan kebajikan bagi menjayakan ibadah korban pada tahun ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah turut hadir menyantuni 69 orang asnaf dari Kampung Asajaya Ulu dan Kampung Asajaya Laut serta mengagihkan sebanyak 200 kilogram daging korban kepada mereka.

Dalam sidang media, beliau melahirkan rasa syukur kerana proses penyembelihan dan pengagihan daging korban berjalan lancar.

“Alhamdulillah, semua proses penyembelihan dan pengagihan daging korban berjalan lancar, sama ada dilakukan secara berkelompok mahupun terus ke kampung-kampung yang terlibat di seluruh Daerah Asajaya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program tahunan tersebut.

“Harapan saya suasana seperti ini dapat dikekalkan dengan penglibatan menyeluruh daripada komuniti kampung dalam mengurus dan melaksanakan ibadah korban,” ujarnya.

Dato Sri Abdul Karim turut menyeru umat Islam agar memanfaatkan peluang untuk melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah yang berlangsung dari 10 hingga 13 Zulhijjah.

“Marilah bersama-sama kita melaksanakan ibadah korban ini dalam tempoh yang ditetapkan, bermula selepas solat Aidiladha hingga ke akhir hari tasyrik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak golongan asnaf agar terus berdaya saing dan berusaha keluar daripada kepompong kemiskinan melalui peningkatan ilmu serta taraf sosioekonomi.

“Pembangunan pesat yang berlaku di kawasan seperti Asajaya termasuk infrastruktur dan kemudahan logistik bertaraf antarabangsa harus dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat,” tegas beliau.

Dato Sri Abdul Karim juga berkongsi bahawa sepanjang perkhidmatannya sebagai wakil rakyat, Asajaya telah menyaksikan pelbagai perubahan, khususnya dalam bidang pendidikan dan kemudahan asas.

“Kini hampir setiap kampung di Asajaya mempunyai anak bergelar graduan, walaupun ibu bapa mereka dahulu tidak berpeluang ke universiti,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat; Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin; serta Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Chek Bujang.-EDISI UKAS