KUCHING: Generasi ketiga yang tidak lahir di Sarawak bagi sesebuah keluarga tiada hak menerima bantuan kerajaan Sarawak disebabkan tidak berstatus rakyat di negeri ini
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, ibu bapa (generasi pertama) yang melahirkan anak mereka (generasi kedua) di luar Sarawak perlu peka dengan perubahan ini yang boleh menyebabkan cucu mereka (generasi ketiga) hilang status rakyat sarawak disebabkan turut lahir di luar Sarawak.
Jelasnya, hal ini terutamanya bantuan pembelajaran percuma di universiti milik kerajaan Sarawak dan bantuan di fasiliti kesihatan di negeri ini.
"Kalau dua generasi (selepas generasi pertama) tidak lahir di Sarawak maka generasi ketiga bukan lagi berstatus rakyat Sarawak.
“Biarpun anak-anak mempunyai kod ‘K’ tetapi sekiranya mereka lahir luar Sarawak, cucu mereka hanya layak menjadi rakyat Sarawak melalui perkahwinan dengan rakyat Sarawak (sekiranya lahir luar negeri).
“Mereka hanyalah warganegara Malaysia tanpa status rakyat Sarawak dan mereka tidak layak menerima pembelajaran secara percuma bagi universiti-universiti milik Kerajaan Sarawak dan tidak layak menerima bantuan bagi fasiliti kesihataan di negeri ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Vaisakhi di Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.
Tambahnya, ibu bapa Sarawak yang tinggal di luar negeri perlu ambil tahu mengenai perkara ini sekiranya inginkan cucu mereka menerima bantuan mahupun kemudahan kerajaan Sarawak.
Pada majlis tersebut, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkesempatan menyerahkan geran peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada Sarawak Sikh Temple Association (SSTA).
Turut hadir, Pengarah UNIFOR Datu Jack Aman Luat, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak Samuel Simon, Presiden SSTA Dr Kalwinder Singh Khaira serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS