Program Ibadah Korban Parlimen Kota Samarahan Dekatkan Pemimpin & Rakyat

Disiarkan pada 08 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Program ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha mendekatkan lagi hubungan pemimpin bersama rakyat.

Perkara ini diserlahkan apabila Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang yang turun padang meluangkan masa menghadiri program tersebut, pada Ahad.

Di kesempatan itu, beliau berpeluang menyaksikan sendiri proses penyembelihan serta melakukan simbolik melapah daging bersama penduduk setempat.

Menurut beliau, program seperti ini bukan sahaja memperkukuh amalan keagamaan, malah menjadi platform mempererat hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat.

Datuk Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, difahamkan menyumbang seekor lembu kepada Masjid Darul Salihin, Kampung Tanjung Parang, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Aktiviti penyembelihan, melapah, membungkus, dan pengagihan daging korban dijalankan secara gotong-royong yang melibatkan ahli kariah masjid, surau serta penduduk kampung.

Pengagihan daging korban kemudiannya diselaraskan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada golongan yang layak dan memerlukan. -EDISI UKAS