Datuk Ding Terus Prihatin, Lawatan Hari Ke-27 Rumah Panjang Diteruskan di Sg Mador dan Sg Rayah

Disiarkan pada 08 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Komitmen berterusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, terhadap kebajikan rakyat luar bandar sekali lagi dizahirkan apabila beliau meneruskan Lawatan Rumah Panjang Hari Ke-27 di kawasan Sungai Mador dan Sungai Rayah, Bintangor pada Jumaat.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN N.46 Meradong itu turut disertai oleh isteri beliau, Datin Kueh Nai Fun, serta rombongan pimpinan Parti SUPP Cawangan Bintangor, antaranya Timbalan Pengerusi, Lau Sie Hing; Setiausaha, Chieng Boung Ong; Bendahari, Lee Ngin Soon dan Kapitan Wong Leh Hee.

Dalam ucapan ringkas beliau, Datuk Ding menegaskan bahawa amalan mengadakan lawatan ke rumah panjang bukan sekadar tradisi, malah satu keperluan untuk memastikan suara rakyat benar-benar didengari.

“Setiap tahun kita tetap akan lawat semua rumah panjang, tidak kira panjang atau pendek. Ini adalah masa untuk melihat dan mendengar sendiri permohonan serta keperluan masyarakat,” ujar beliau.

Beliau turut menerima beberapa permohonan daripada Tuai Rumah dan penduduk rumah panjang, khususnya berkenaan usaha menaik taraf prasarana asas seperti jalan, kemudahan air bersih dan elektrik.

Datuk Ding menekankan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak amat menitikberatkan pembangunan luar bandar serta kebajikan semua lapisan masyarakat.

Beberapa program sokongan yang sedang dilaksanakan termasuk Kad Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Endowment Fund Sarawak (EFS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) untuk institusi milik negeri seperti Swinburne Sarawak, Curtin Malaysia, UTS, dan i-CATS University College.

Dalam ucapannya, beliau turut menggesa para tuai rumah untuk lebih proaktif dalam membuat permohonan.

“Saya sarankan supaya semua permohonan dibuat secara bertulis melalui surat rasmi dan dihantar ke Pusat Khidmat DUN. Dengan cara ini, ia dapat diproses dan diangkat ke pihak atasan dengan lebih teratur,” katanya.

Lawatan petang itu turut diselitkan dengan kehadiran Datuk Ding ke Majlis Perkahwinan di Rumah Ikuok, Sg Rayah, sekali gus menyerlahkan pendekatan mesra rakyat yang diamalkan oleh wakil rakyat Meradong itu.

Program seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, malah menjadi platform penting untuk menyelami denyut nadi masyarakat secara langsung.-EDISI UKAS