Dato Sri Alexander Nanta, Datuk Jefferson Jamit Sumbang Lembu Korban dan Bantuan Banjir

Disiarkan pada 08 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KAPIT: Suasana sambutan Aidiladha di Kapit tahun ini disemarakkan dengan sumbangan tiga ekor lembu korban oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat.

Sumbangan yang diagihkan kepada penduduk Kampung Baru Kapit, Kampung Muhibbah Kapit dan Kampung Bestari Kapit ini membawa senyuman dan rasa syukur buat penerima, khususnya golongan yang memerlukan.

Setiausaha Politik kepada Dato Sri Nanta, Ambrose Abong Bugek, hadir mewakili beliau bagi menyempurnakan majlis penyerahan daging korban Dewan Komuniti Kampung Baru pada Sabtu.

Majlis turut diserikan dengan penyerahan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir, sebagai simbol keprihatinan dan sokongan berterusan kepada mangsa yang terlibat.

Selain membantu meringankan beban golongan memerlukan, penganjuran majlis seperti ini turut memperkukuh silaturahim dan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat setempat, sejajar dengan nilai-nilai murni yang diangkat melalui sambutan Aidiladha.-EDISI UKAS