Sarawak Laksana Dasar Pertanian Baharu Berasaskan Ekonomi Kitaran

Disiarkan pada 08 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


GEDONG: Kerajaan Sarawak kini melaksanakan pendekatan baharu dalam sektor pertanian dan penternakan melalui dasar berasaskan ekonomi kitaran, bagi menangani isu harga daging yang tinggi dan mengurangkan kebergantungan kepada import.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sisa pertanian seperti dari ladang kelapa sawit berpotensi dijadikan biojisim dan seterusnya diubah kepada makanan haiwan.

Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja mengurangkan keperluan import makanan haiwan dari luar negara seperti Australia, malah mampu menjimatkan kos ternakan secara keseluruhan.

“Kita tidak perlu lagi import makanan haiwan. Ini sudah menjadi satu langkah penjimatan. Kalau kita gunakan sisa kelapa sawit untuk hasilkan makanan haiwan, kosnya jauh lebih rendah,” ujar beliau semasa ditemui media sempena Majlis Penyerahan Lembu & Daging Korban DUN N26 Gedong pada Ahad.

Premier Sarawak turut menjelaskan sistem 'feedlot' tertutup yang sedang dibangunkan membolehkan lembu dan kambing diternak secara lebih sistematik dengan makanan berkualiti, termasuk campuran rumput napia dan sisa ladang yang tinggi nutrien.

Langkah ini dilihat sebagai permulaan penting ke arah pertanian mampan, di mana ladang kelapa sawit bukan sahaja menghasilkan minyak sawit, tetapi juga produk sampingan seperti makanan haiwan, biogas, dan biofeed yang menjadikan keseluruhan proses pertanian lebih efisien dan tidak membazir.

“Don’t waste the waste, monetize the waste – itu yang saya sampaikan di ASEAN Women Entrepreneur,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dengan 38 kilang kelapa sawit di seluruh negeri, inisiatif ini berpotensi meningkatkan hasil ternakan tempatan, mengawal harga pasaran daging, serta menjana peluang ekonomi baharu kepada petani dan penternak di luar bandar.

Sementara itu, penduduk sekitar Gedong telah menerima sumbangan lembu sebanyak 24 ekor keseluruhan dengan sebanyak 13 ekor disumbang oleh Premier Sarawak yang juga ADUN Gedong menerusi Lembaga Amanah Kebajikan Gedong (LAKIG), 6 ekor daripada Parlimen Batang Sadong dan 5 ekor lagi daripada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bahagian Samarahan (LAKIS).

Turut hadir bersama ialah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri & Pelaburan Sarawak (MINTRED) merangkap Wakil Khas ADUN Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN Simunjan, Awla Dris,Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang; serta Pegawai Daerah Gedong, Tamida Da'adi. -EDISI UKAS