KUCHING: Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof, menghadiri Program Ibadah Korban anjuran NEXGEN Petra Jaya yang berlangsung di pekarangan Kampung Semariang Pinggir, di sini pada Ahad.
Kehadiran beliau memeriahkan lagi program yang turut disertai oleh lebih 60 orang sukarelawan, termasuk pelajar daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UNIMAS, Cyberjaya College Kuching, serta penduduk kampung.
Dato Sri Fadillah turut meluangkan masa menyaksikan proses pelapahan dan pembungkusan daging korban, di samping beramah mesra bersama para petugas serta menyempurnakan simbolik pelapahan dan penyerahan bungkusan daging kepada wakil komuniti.
Program yang bermula seawal jam 8 pagi itu menyaksikan dua ekor lembu dikorbankan, dan dagingnya diagihkan kepada kira-kira 150 penerima.
Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan menyantuni masyarakat setempat sempena Aidiladha, malah menjadi platform pendidikan lapangan kepada generasi muda dalam memahami tatacara sebenar ibadah korban, serta menyemai nilai perpaduan dan pengorbanan dalam kalangan masyarakat majmuk.
Turut mencuri perhatian ialah kehadiran beberapa peserta bukan Islam yang hadir untuk melihat sendiri pelaksanaan ibadah korban, sekali gus mencerminkan suasana harmoni dan keterbukaan komuniti setempat di Petra Jaya.
Program anjuran NEXGEN Petra Jaya ini terus menjadi platform merapatkan jurang antara belia, institusi pendidikan dan masyarakat setempat melalui semangat gotong-royong dan keprihatinan bersama.-EDISI UKAS