KUCHING: Kerajaan memperuntukkan lebih RM760 juta dalam bentuk pinjaman bagi pelaksanaan pelbagai projek loji rawatan air di seluruh negara bagi tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, bidang kuasa air terletak di bawah kerajaan negeri, namun kerajaan persekutuan tetap komited membantu negeri-negeri menerusi pinjaman serta sebahagian peruntukan berbentuk geran selepas pelaksanaan penstrukturan semula sektor air menerusi penglibatan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Projek-projek ini secara asasnya berbentuk pinjaman kerana bidang kuasa air adalah di bawah negeri.
“Tetapi pada masa yang sama, ada juga projek yang telah diubah bentuk kepada geran melalui penstrukturan semula bersama SPAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Ibadah Korban Kampung Tupong Jaya, di sini, pada Ahad.
Daripada jumlah keseluruhan itu, projek-projek sedang dan akan dilaksanakan di pelbagai negeri termasuk Sabah (12 projek), Kedah (2), Kelantan (1), Pahang (3), Terengganu (3), Sarawak (5) dan Perlis (2).
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut memaklumkan bahawa beberapa projek kini berada di peringkat berbeza.
“Ada tujuh projek dijangka siap tahun ini, manakala selebihnya dalam pelbagai fasa perlaksanaan yang akan siap pada tahun 2026 dan selepas 2027,” ujar beliau lagi.
Selain itu, terdapat empat projek masih berada dalam peringkat ‘Notice of Change’ (NOC) kerana perubahan skop kerja yang memerlukan peruntukan tambahan dan kelulusan daripada Kementerian Ekonomi sebelum boleh diteruskan.
“Empat projek itu belum boleh ditenderkan lagi kerana kita menunggu kelulusan. Yang lain masih dalam peringkat reka bentuk dan sebagainya,” tambahnya lagi. -EDISI UKAS