PETRA Fokus Tangani Isu Kehilangan Air Tidak Berhasil, Tindakan Segera Diperlukan

Disiarkan pada 08 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan memberi penekanan lebih terhadap isu ‘non-revenue water’ (NRW) yang kini mencapai tahap membimbangkan dengan purata negara mencecah 40 peratus daripada jumlah air terawat.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof menjelaskan, NRW merujuk kepada air yang diproses tetapi tidak sampai kepada pengguna akibat pelbagai faktor seperti kebocoran paip, sambungan sistem yang tidak cekap, serta kecurian air melalui sambungan haram.

“Jadi, kalau ikutkan purata nasional secara keseluruhannya air yang hilang adalah sebanyak 40 peratus di mana kalau kita bayangkan, kita proses air, tetapi 40 peratus hilang macam itu sahaja.

“Maknanya, kita mengalami kerugian dari sudut nilai duit mencecah bilion disebabkan air yang hilang, termasuk isu kecurian air daripada penyambungan paip secara haram,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Ibadah Korban Kampung Tupong Jaya, di sini, pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri PETRA menjelaskan bahawa kerajaan kini memberi fokus khusus kepada penyelesaian menyeluruh bagi isu ini, termasuk pelan untuk menggantikan paip-paip lama di seluruh negara.

“Jadi apa yang saya nak fokuskan sekarang ini ialah mencari kaedah supaya kalau kita dapat selesaikan masalah untuk menggantikan paip seluruh negara kita, maka kita akan dapat menjimat 40 peratus kehilangan air.

“Perkara ini yang saya hendak tumpukan mulai tahun ini dan diharapkan dalam Rancangan Malaysia yang kedepan kita dapat selesaikan,” jelasnya lagi.

Tambah Dato Sri Fadillah, inisiatif ini dijangka memberi impak besar termasuk mengesan aktiviti penyambungan paip secara haram sekaligus meningkatkan kecekapan sistem bekalan air negara serta mengurangkan pembaziran sumber secara drastik.

“Bila paip lama diganti, kita juga boleh kesan dengan lebih jelas kawasan yang berlaku kecurian air,” katanya. -EDISI UKAS