Kampung Punang Bakal Alami Transformasi Besar

Disiarkan pada 08 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Kampung Punang bakal mengalami transformasi besar menerusi pelbagai projek pembangunan strategik.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kedudukan Kampung Punang ini menjadi faktor beberapa projek yang melibatkan sektor ekonomi, perindustrian dan pelancongan yang menarik.

"kawasan Kampung Punang memiliki kedudukan strategik dan akan turut terlibat dalam pembinaan lapangan terbang baharu antara Punang dan Awat-Awat serta projek Jalan Pesisir yang akan menghubungkan terus ke lapangan terbang tersebut.

"Selain itu, pembinaan kawasan perindustrian atau industrial estate di Pulau Sari, serta jeti sebagai pelabuhan laut dalam turut dirancang dan dijangka dilaksanakan dalam tahun ini.

"Ada perancangan kita untuk memudahkan pihak swasta terlibat dalam projek ini untuk kawasan pelancongan seperti pembinaan padang golf dan juga resort dan kita usaha untuk menarik pihak swasta untuk bersama-sama terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Ibadah Korban dan Pengagihan Daging Korban anjuran LAKHIL di Masjid Darul Iman, Kampung Punang pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu menambha, bangunan Masjid Darul Iman yang baharu kini telah mencapai lebih 90 peratus tahap siap dan beberapa perubahan dalam reka bentuk sedang dalam pertimbangan.

Dalam masa sama, beliau turut mengumumkan bahawa projek pembinaan Tebingan Sungai dan benteng pemecah ombak di kawasan kampung akan dilaksanakan oleh pihak Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Justeru, beliau menyeru agar penduduk Kampung Punang mrngambil peluang yang sedia ada untuk memanfaatkan diri dan keluarga atas perubahan yang bakal dilaksanakan.

Program yang berlangsung di perkarangan masjid itu turut meraikan sambutan Aidiladha bersama masyarakat setempat dan menyaksikan seramai 198 penerima menerima agihan daging korban.

Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Kumpulan Hadrah Kampung Punang yang mempersembahkan persembahan istimewa semasa majlis berlangsung.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa; Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Dato Ubaidillah Abdul Latif; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok; serta pemimpin masyarakat termasuk Temenggong Rosli Majid dan Penghulu Marli Ambi. -EDISI UKAS