KUCHING: Festival muzik ikonik dunia, Rainforest World Music Festival (RWMF) 2025, bakal kembali menggamatkan Kampung Budaya Sarawak (SCV) dari 20 hingga 22 Jun ini.
Bertemakan 'Connections: One Earth, One Love', festival ini menjanjikan gabungan unik muzik dunia, pertukaran budaya dan kesedaran alam sekitar yang mengujakan.
Lebih 200 artis dari 20 negara akan membuat persembahan, termasuk kumpulan terkenal antarabangsa The Earth, Wind & Fire Experience by Al McKay (AS), Otyken (Siberia), serta kumpulan tempatan At Adau yang memartabatkan muzik sape Borneo.
Bagi menambahkan kemeriahan, RWMF 2025 memperkenalkan dua pertandingan digital istimewa yang terbuka kepada pembeli pas 1-Hari atau 3-Hari antara 8 Mac hingga 22 Jun 2025.
Pertandingan pertama ialah #MYRWMFTimeforPariswithMH, yang mana peserta dikehendaki untuk memuat naik video #OOTD (Outfit Of The Day) berinspirasikan budaya Sarawak dalam bentuk Instagram Reel (15–60 saat) dan berpeluang memenangi tiket pergi balik ke Paris untuk dua orang bersama Malaysia Airlines.
Manakala pertandingan kedua ialah #RWMFxProtonX70Challenge, yang mana pemenang berpeluang memandu pulang sebuah kereta Proton X70 baharu, dengan mencipta video tarian atau kandungan trend yang menampilkan elemen Proton dan RWMF.
Penyertaan perlu dimuat naik di Instagram, lengkap dengan hashtag dan tag rasmi: @RWMF.official, @sarawaktravel, @malaysiaairlines / @protoncars.
Peserta boleh menghantar seberapa banyak penyertaan tetapi hanya layak memenangi satu hadiah.
Untuk makluman, harga tiket ke RWMF ialah RM283 untuk Pas Dewasa 1-Hari, RM765 (penjimatan RM70) untuk Pas Dewasa 3-Hari, RM80 untuk Pas Kanak-Kanak (3–12 tahun).
Di samping itu, bagi memudahkan perjalanan ke Kuching, Malaysia Airlines dan Firefly menawarkan diskaun hingga 20 peratus bagi tempahan penerbangan dalam tempoh tempahan: 12 Mac – 22 Jun 2025, tempoh perjalanan: 14 – 29 Jun 2025 dengan kod promo: MHRWMF25 (Malaysia Airlines) / FYRWMF25 (Firefly).
Dengan kehadiran lebih 26,000 pengunjung pada edisi lalu, tiket dijangka laris dan orang ramai disarankan untuk membuat pembelian awal di laman rasmi: www.rwmf.net.
RWMF 2025 bukan sekadar sebuah festival, tetapi sebuah perayaan yang menyatukan irama muzik, kepelbagaian budaya dan kesedaran terhadap alam sekitar.-EDISI UKAS