Muafakat & Semangat Kekitaan Terserlah Menerusi Ibadah Korban Di Kampung Penakub Permai

Disiarkan pada 08 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Suasana penuh muafakat dan semangat kekitaan terpancar jelas di Kampung Penakub Permai apabila penduduk setempat berganding bahu menjayakan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang berlangsung di Masjid Jamek, di sini pada Sabtu.

Program tahunan yang telah menjadi tradisi masyarakat setempat ini menyaksikan penglibatan pelbagai lapisan komuniti, termasuk golongan belia, wanita dan warga emas, yang bersama-sama terlibat dalam proses penyembelihan, penyediaan serta pengagihan daging korban.

Menyerikan lagi program tersebut ialah kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine yang turut menyantuni para petugas serta menyertai aktiviti gotong-royong bersama penduduk dalam menjayakan ibadah korban kali ini.

Menurut Royston, keterlibatan aktif semua pihak dalam program ini wajar dijadikan contoh dalam usaha memupuk perpaduan serta keharmonian yang berterusan dalam masyarakat.

Selain Kampung Penakub Permai, beliau turut meluangkan masa menghadiri program gotong-royong ibadah korban di Kampung Tellian Tradisi dan Masjid Setiraja sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada usaha murni masyarakat dalam menghayati nilai pengorbanan dan keikhlasan sempena Aidiladha.–EDISI UKAS