BETONG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas dinobatkan sebagai juara keseluruhan Perarakan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2025 sekaligus mengekalkan kejuaraan untuk tahun ketiga berturut-turut.
Kejayaan itu membolehkan sekolah tersebut membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM10,000 dan mencipta sejarah apabila menerima piala pusingan secara kekal.
Pejabat Kesihatan Bahagian Betong pula berjaya merangkul tempat pertama bagi kategori jabatan kerajaan, badan berkanun dan swasta diikuti SALCRA Betong di tempat kedua dan Jabatan Kerja Raya Bahagian Betong di tempat ketiga.
Dalam kategori Ketua Kaum, Rumah Panjang, Kampung dan NGO, Rantau Kembayau Manis dari Lubok Antu diumumkan sebagai johan, diikuti Dayak Bukit Kelingkang (DBK) sebagai naib johan dan SDNU & SIDS Saratok di tempat ketiga.
Kategori PIBG dan sekolah menengah menyaksikan SMK Saribas muncul sebagai juara, manakala SMK St Augustine dan SMK Spaoh menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori PIBG dan sekolah rendah, SK St Augustine membawa pulang tempat pertama, SK Nanga Pasa tempat kedua dan SK Paku Central tempat ketiga.
Setiap juara kategori menerima wang tunai RM3,000, naib johan RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000 bersama sijil dan trofi.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu, yang hadir mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Dewan Panglima Rentap pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Dato Gerald menyifatkan perarakan tersebut sebagai satu simbol perpaduan dan kebanggaan terhadap kebudayaan masyarakat Dayak, yang berjaya menarik penyertaan merentas generasi iaitu daripada pelajar sekolah rendah hingga ke golongan veteran.
“Kita bukan hanya memperagakan adat dan budaya masyarakat Dayak, lebih dari itu, kita memperlihatkan apa itu kesatuan, apa itu perpaduan di dalam kepelbagaian, nilai hidup yang amat berharga.
“Saya menyeru, penglibatan masyarakat setempat untuk menggiatkan diri dalam penghasilan kostum dan aksesori pakaian tradisional masyarakat Dayak, kerana kita sama-sama lihat ianya adalah peluang ekonomi yang amat baik, dengan aktiviti seumpama ini,” jelasnya.
Sebelum itu, Dato Gerald turut memyempurnakan gimik pelepasan dan seterusnya mengetuai acara perarakan dari Kompleks Sukan Betong mengelilingi Pekan Betong menuju ke Dewan Panglima Rentap dengan jarak laluan sejauh 1.8km.
Perarakan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2025 telah disertai oleh sebanyak 18 buah pasukan melibatkan seramai 1,519 orang peserta yang mendaftarkan diri. -EDISI UKAS