Belia SUPP Stakan Nyatakan Sokongan Penuh Terhadap Dato Fazruddin Sebagai Presiden FAS

Disiarkan pada 07 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Belia Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Stakan menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazruddin Abdul Rahman untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sebagai Presiden.

Ketua Belia SUPP Stakan, Valentine Dalley Yong berkata pihaknya percaya dengan kepimpinan Dato Fazzrudin dengan kejayaan beliau dalam membangunkan Kuching City FC daripada sebuah kelab kecil kepada antara kelab bola sepak paling berjaya di Sarawak.

“Kami merupakan penyokong Dato Fazruddin dan mengikuti rapat segala pencapaian beliau dalam dunia bola sepak tempatan.

“Kejayaan beliau mengurus Kuching City FC membuktikan kebolehan dan visi beliau dalam membangunkan bola sepak Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Belia SUPP Stakan turut menyambut baik sokongan yang telah dizahirkan sebelum ini oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menterinya, Dato Gerald Rentap Jabu terhadap pencalonan Dato Fazruddin.

“Kami yakin ramai rakyat Sarawak akan bersetuju bahawa Dato Fazruddin adalah calon terbaik untuk membawa pembaharuan dalam FAS dan melonjakkan bola sepak Sarawak ke tahap yang lebih progresif dan kompetitif,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Valentine menekankan bahawa harapan pihaknya bukan hanya agar Dato Fazruddin dilantik sebagai Presiden, tetapi agar beliau dapat menyuntik nafas baharu kepada FAS sebagai satu gerakan akar umbi untuk mengembalikan bola sepak sebagai sukan utama di Sarawak.

Beliau turut menyeru pihak pengurusan tertinggi FAS untuk mempertimbangkan serius pelantikan Dato Fazruddin sebagai Presiden yang baharu, demi membina semula bola sepak Sarawak dari peringkat asas. -EDISI UKAS