Dato Sri Dr. Stephen Rundi Sumbang Empat Ekor Lembu Sempena Hari Raya Aidiladha

Disiarkan pada 07 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Sebanyak empat ekor lembu korban telah diagihkan kepada lapan kampung di daerah Sebauh sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut oleh komuniti Islam.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom di Surau Sebauh, di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, sumbangan lembu korban ini bukan sahaja membawa makna ibadah tetapi juga nilai kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat.

“Kita mahu semua rakyat, tidak kira di bandar atau luar bandar, merasai kemeriahan Hari Raya Haji.

"Semangat gotong-royong dalam ibadah korban menyatupadukan komuniti,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Dato Sri Dr. Stephen Rundi turut mengambil kesempatan berkongsi perkembangan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan untuk menambah baik infrastruktur yang sedia ada di Sebauh termasuk pewujudan bandar baharu bebas risiko banjir, pembinaan jambatan baharu, stadium, masjid, dan kawasan riadah berkonsepkan waterfront yang direka oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

“Waterfront ini kita mahu jadikan tempat riadah terbuka yang selesa dan orang boleh memancing, bersantai tanpa perlu naik perahu,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa akses jalan dari Sebauh ke Bintulu kini hanya mengambil masa 30 hingga 40 minit melalui sambungan Jambatan Jepak, manakala jalan Kampung Hilir Sebauh akan diperluas hingga ke Sepaduk sebagai laluan alternatif.

Dalam aspek perancangan bandar, Dato Sri Dr. Stephen Rundi menekankan pentingnya pembangunan perumahan secara berperingkat supaya Sebauh tidak menghadapi masalah kesesakan seperti di Bintulu.

"Saya mahu memperkenalkan pembangunan perumahan secara berperingkat supaya kita tidak mengalami kesesakan seperti di Bintulu.

“Kita mesti bersedia lebih awal untuk menyesuaikan diri dengan pertumbuhan pesat ini," katanya.

Antara perkara lain yang sedang dirancang termasuk penempatan institusi vokasional di Sebauh bagi menyebar peluang pendidikan dan pekerjaan serta penyelesaian jangka panjang isu trafik melalui perancangan infrastruktur secara holistik.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sebauh
Thadeus Ling Bartholomew Allu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Colin Patan, Pemanca Limin Anai dan Penghulu Morshidi Tali.-EDISI UKAS

Gambar kredit: Utusan Sarawak