RM599,000 Disalurkan kepada 21 Penerima MRP DUN Kemena

Disiarkan pada 07 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Sebanyak RM599,000 diperuntukkan kepada 21 penerima menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa Kedua bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena.

Penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), badan bukan kerajaan (NGO), kelab dan persatuan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, berharap peruntukan MRP yang disalurkan dapat memantapkan lagi fungsi JKKK dan organisasi tempatan dalam menggalakkan pembangunan luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

“MRP bukan sekadar bantuan kewangan. Ia adalah pemangkin kepada gerak kerja komuniti luar bandar dalam memajukan kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Peruntukan MRP di Pejabat Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu, pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Dato Sri Dr. Stephen Rundi turut menggesa ketua masyarakat dan penghuni rumah panjang agar mengutamakan aspek keselamatan, terutamanya ketika musim kemarau yang sedang melanda.

Menurut beliau, sehingga pertengahan tahun ini sahaja, sebanyak lima buah rumah panjang di Daerah Sebauh telah musnah dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada masalah sistem pendawaian elektrik serta reka bentuk rumah panjang yang kurang selamat.

“Rumah panjang yang dibina perlu memenuhi keperluan keselamatan termasuk pemasangan fire breaker dan penggunaan sistem pendawaian elektrik yang sesuai.

“Penggunaan peralatan seperti penyaman udara dan peti sejuk dalam sistem single-phase boleh membebankan dan menyebabkan kebakaran,” jelas beliau.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berkenaan turut menasihatkan agar sebarang pembinaan rumah panjang baharu memastikan status pemilikan tanah seperti tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), Pajakan Sementara (PL) atau Pajakan Negeri (LP) perlu disahkan terlebih dahulu bagi mengelakkan isu pada masa hadapan.

“Perkara ini penting agar tiada pertikaian timbul kelak dan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sebauh, Frances Sherri Lia Jilan dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Colin Patan.-EDISI UKAS


Gambar kredit: Utusan Sarawak