Projek Naik Taraf Tebingan Sungai Limbang Fasa 1 Dijangka Siap Hujung Tahun Ini

Disiarkan pada 07 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Projek naik taraf Tebingan Sungai Limbang Fasa 1 yang kini sedang dilaksanakan menunjukkan perkembangan positif.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek itu yang sebahagiannya telah runtuh dan terpaksa dibuat reka bentuk baru kini telah mencapai lebih 30 peratus kemajuan fizikal.

“Saya difahamkan ia telah mendahului jadual sebanyak 1 peratus.

“Projek ini dijangka siap pada penghujung tahun ini dengan kos RM9.5 juta,” katanya ketika ditemui media selepas melawat ke Tapak Cadangan Projek Pembinaan Jalan Ke Taman Tasik Bukit Mas Limbang dan Tapak Projek Naik Taraf Tebingan Sungai Limbang Fasa 1 (Kawasan Runtuh) pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata satu lagi projek di kawasan tersebut ialah pembinaan kemudahan tanjakkan perahu bernilai RM5 juta yang kini dalam proses kelulusan akhir oleh Jawatankuasa Reka Bentuk Bangunan Negeri atau State Building Design Committee (SBDC).

“Kita berharap ia dapat dimulakan pada tahun ini juga dan berharap boleh disiapkan pada pertengahan tahun depan sebab kita bercadang melalui Jawatankuasa Perayaan Utama Bahagian Limbang akan menghidupkan semula Pesta Limbang pada tahun hadapan dalam bulan Julai ke September.

“Kita minta projek-projek yang berkaitan dengan tebingan ini dapat disiapkan sebelum pertengahan tahun depan,” ujarnya.

Datuk Dr Abdul Rahman turut menyentuh mengenai Projek Jambatan Sungai Limbang Kedua yang dijangka siap pada Disember 2025, seperti dimaklumkan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

“Jadi kita berharap dengan siapnya prasarana seperti ini insyallah kegiatan sosioekonomi di Limbang akan bertambah baik. Kita yakin Limbang dapat menyumbang kepada ekonomi Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan mengenai Projek Jalan Akses ke Taman Tasik Bukit Mas yang belum bermula dan bertujuan menggantikan jalan sedia ada yang berbahaya serta telah menyebabkan beberapa kemalangan.

“Kita telah memohon kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan beliau telah meluluskan peruntukan berjumlah RM22 juta untuk membina jalan tersebut.

“Projek itu kini dalam peringkat akhir untuk tender dan dijangka akan ditender pada tahun ini juga,” jelasnya.

Turut hadir daam lawatan berkenaan ialah Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Jurutera Bahagian, JKR Bahagian Limbang Mahathir Jokeni, dan wakil Penguasa Jabatan Tanah & Survei Bahagian Limbang Bujang Radin.-EDISI UKAS