Yang di-Pertua Negeri Sarawak & Premier Sarawak Hadiri Majlis Kesyukuran Aidiladha

Disiarkan pada 07 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkenan menghadiri Majlis Kesyukuran Aidiladha anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) di Masjid Jamek, Petra Jaya di sini pada Sabtu.

Turut menyerikan majlis ialah Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Fadillah Yusof, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato' Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta ketua-ketua jabatan kerajaan dan tetamu kehormat yang lain.

Majlis dimulakan dengan acara penyembelihan haiwan korban yang disaksikan oleh para tetamu kehormat, diiringi alunan takbir yang menghidupkan suasana.

Seterusnya, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi, Datuk Patinggi Abang Zohari dan Dato' Sri Fadillah turut serta dalam sesi melapah daging korban sebagai simbolik kepada majlis kesyukuran tersebut.

Majlis diteruskan dengan pengagihan daging korban kepada 30 orang penerima yang terdiri daripada golongan mualaf dan asnaf sekitar Kuching, yang disempurnakan oleh Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi.

Secara keseluruhan, seramai 100 orang penerima telah disantuni melalui agihan daging korban pada hari ini.

Terdahulu, para tetamu kehormat bersama lebih 3,000 jemaah menunaikan Solat Sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam Besar Sarawak, Dato' Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Solat disusuli dengan khutbah khas bertajuk "Meraih Keimanan, Meningkatkan Pengorbanan".-EDISI UKAS