KUCHING: Mahkamah Tinggi mengekalkan tarikh perbicaraan pada 11 Jun 2025 bagi kes sivil antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang melibatkan pertikaian bekalan gas bernilai RM7.95 juta.
Pesuruhjaya Kehakiman Dato' Faridz Gohim Abdullah, membuat keputusan untuk menolak dua permohonan yang difailkan oleh PETRONAS pada 22 Mei lalu bagi menangguhkan atau menunda prosiding, dan menegaskan bahawa tiada keadaan luar biasa yang membolehkan penangguhan tersebut.
Memetik laporan portal berita DayakDaily disiarkan semalam yang menyebut, intipati kes ini adalah permohonan PETROS untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa tuntutan bayaran oleh PETRONAS di bawah jaminan bank adalah ‘tidak berperikemanusiaan dan menyalahi undang-undang.’
PETROS berhujah bahawa PETRONAS telah membekalkan gas asli kepadanya tanpa lesen yang sah di bawah Seksyen 7 Ordinan Pengedaran Gas Sarawak 2016 (DGO), menjadikan tuntutan bayaran tersebut sebagai tidak sah di sisi undang-undang.
Sebaliknya, PETRONAS mempertahankan kedudukannya dengan menyatakan bahawa ia diberi kuasa oleh undang-undang persekutuan, iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), untuk mengedar gas di seluruh negara.
Bagaimanapun, pemeteraian Deklarasi Bersama pada 21 Mei 2025 antara Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan deklarasi yang difailkan oleh PETROS dalam mahkamah itu menyatakan bahawa undang-undang persekutuan dan negeri berkaitan pengedaran gas di Sarawak perlu diguna pakai secara bersama dan dipatuhi oleh semua pihak, termasuk PETRONAS dan PETROS.
Dalam perkembangan berkaitan, PETRONAS telah melantik dua peguam kanan dari Majlis Peguam Malaya iaitu Datuk Cyrus Das dan Khoo Guan Huat yang diberi kebenaran kemasukan 'ad hoc' oleh Mahkamah Tinggi Sibu pada 29 Mei lalu.
Manakala PETROS pula akan diwakili oleh tokoh perundangan veteran, Tan Sri Cecil Abraham, yang turut diterima masuk secara 'ad hoc' untuk mengetuai kes ini.
Keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes ini dijangka memberi impak yang besar terhadap struktur perundangan dan perlembagaan yang mengawal pengedaran sumber asli di Sarawak di mana penghakiman tersebut juga dijangka menyentuh hubungan kuasa antara kerajaan persekutuan dan negeri, khususnya berdasarkan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 serta Perintah Kuasa Perundangan Negeri Borneo 1963 yang menyokong kedudukan khas Sarawak di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan. -EDISI UKAS