Mesyuarat JATAIM Tekankan Komitment Penyelarasan Aktiviti Islam

Posted on 06 Jun 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Pejabat Residen Bahagian Miri telah menganjurkan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Bahagian Miri (JATAIM) bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Residen Bahagian Miri pada Jumaat.

Mesyuarat yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 10.30 pagi itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Residen Bahagian Miri, Bujang Rahman Seli dan dihadiri oleh pelbagai jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan.

Dalam ucapannya, Bujang merakamkan penghargaan kepada semua ahli mesyuarat atas komitmen berterusan mereka dalam menjayakan pelaksanaan program-program Islam di Bahagian Miri.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa mesyuarat ini penting dalam memastikan penyelarasan dan kelancaran program-program keagamaan yang dilaksanakan di peringkat bahagian dan daerah-daerah.

Mesyuarat turut mendengar pembentangan daripada Pegawai Agama Islam Bahagian Miri, Ustaz Shamsudin Basir yang menjelaskan tentang pelaksanaan Majlis Tilawah Al-Quran 1446H/2025M serta perancangan awal bagi Sambutan Maulidur Rasul 2025.

Menurut beliau, daerah-daerah seperti Miri, Subis dan Marudi akan melaksanakan Tilawah Al-Quran masing-masing pada bulan Julai dan Ogos 2025, manakala Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Miri dijangka berlangsung pada awal September 2025 dengan kelainan apabila pertama kali akan diadakan di luar Daerah Miri.

Tema sambutan perayaan Islam tahun ini ialah “Sarawak Maju Makmur” yang menekankan kepentingan perpaduan ummah, nilai murni serta pembangunan spiritual sejajar dengan pembangunan fizikal yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

Setiap agensi di bawah JATAIM telah diberikan tanggungjawab khusus bagi memastikan pelaksanaan program yang lebih tersusun dan berkesan.

Bujang turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Kerja akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperhalusi persiapan lanjut.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pegawai Daerah Miri, Siti Rohanie Yusof; Pegawai Daerah Subis, Norlila Ulis; Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah; Pegawai UKAS Bahagian Miri, Dayang Norazelina Hamdan; Pegawai Pertanian Bahagian Miri, Hafriz Razak; serta wakil-wakil dari pelbagai jabatan dan agensi lain.-EDISI UKAS